SOALAN: Sekarang, antara belajar hadis di India dengan Darul Kautsar, yang mana satukah yang lebih baik, kerana saya mendengar banyak berita yang menyebut bahawa India sekarang telah tergugat?
JAWAPAN:
Sebenarnya, belajar di mana-mana pun serupa sahaja; ia bergantung kepada diri kita. Apa yang penting ialah kita perlu mempunyai asas yang kukuh, kerana jika mahu mempelajari agama di luar negara tanpa asas yang kukuh, ia akan lebih menyusahkan kita kerana kita perlu belajar bukan melalui medium bahasa kita.
Itulah salah satu cabaran belajar di luarnegara di samping sekian banyak lagi kesusahan yang lain.
Maka, pengajian agama di Darul Kautsar atau di sebarang tempat masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri, hatta di pusat pengajian yang terkenal sekalipun.
Kalau kita mahu mencari tempat pengajian yang boleh memuaskan hati kita, ia pasti takkan dapat ditemui.
Adapun tentang pengajian Agama Islam di India, kerajaan di sana juga mengenakan larangan yang lebih ketat untuk menghalang umat Islam daripada menuntut ilmu agama yang sebenar.
Puncanya tidak lain adalah kerana Kerajaan India merupakan sekutu Israel dan Amerika Syarikat yang kedua-duanya sangat memusuhi Islam.
Tetapi, secara peribadi, jika kita merujuk kepada Deoband secara spesifik, zaman kegemilangannya saat dipimpin oleh Anwar Shah Kashmiri, Hussein Ahmad Madani, Syabir Ahmad ‘Utsmani dan sebagainya pun telah lama berlalu.
Maka, yang tinggal sekarang ini hanyalah kemahuan dan kesungguhan diri kita untuk mempelajari ilmu agama. Itulah yang akan menentukan penguasaan kita yang sebenarnya terhadap ilmu ini.
Wallahu a’lam.