SOALAN: Antara ulama hadis dengan ulama fiqh mana satukah yang lebih layak bercakap soal hukum-hakam agama?
JAWAPAN:
Secara ringkasnya, memang terdapat ulama hadis yang hanya pakar dalam bidang hadis. Maka, kalau mahu membandingkan ulama hadis seperti ini seperti ulama pengkhususannya adalah bidang fiqh, semestinya merujuk kepada ulama fiqh adalah lebih baik kerana secara umumnya, ulama fiqh itu juga mengetahui hadis dalam masalah tersebut.
Tetapi, ada juga ulama hadis yang turut menguasai ilmu fiqh atau yang disebut dengan nama fuqaha’ muhaddisin. Maka, sudah tentulah ulama hadis seperti ini perlu didahulukan kerana lebih banyak hadis yang dia ketahui, berbanding ulama fiqh yang kadang-kala berhujah dengan hadis-hadis dha’if kerana kurang menguasai ilmu hadis.
Antara yang termasuk dalam kalangan fuqaha’ muhaddisin adalah empat imam mazhab dan para penulis sunan sittah seperti al-Imam al-Bukhari, al-Imam Muslim, al-Imam Abu Daud, dan lain-lain lagi.
Maka, janganlah kita menganggap imam mazhab seperti al-Imam asy-Syafi’i itu hanyalah seorang yang faqih, walhal beliau juga termasuk dalam kalangan jaguh dalam bidang hadis. Maka, ulama seperti inilah yang terbaik untuk kita dahulukan.
Wallahu a’lam.