SOALAN: Apakah yang dimaksudkan dengan Solat Daimun yang disebutkan di dalam ayat ke-23 Surah al-Ma’arij? Kerana dalam pengajian tasawuf, orang yang sampai kepada maqam ‘arif billah, dikatakan yang dia sentiasa berada dalam kedaaan solat tanpa wudhu’ dengan berqiblatkan Allah; bukannya Ka’bah. Adakah ajaran tasawuf dan pegangan ini benar?
JAWAPAN:
Memang ada sebahagian ayat al-Quran yang jika dibaca secara zahir, boleh membawa maksud yang salah. Misalnya, Allah Ta’ala berfirman:
وَٱعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ ٱلْيَقِينُ
Maksudny:
“Sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu apa yang pasti datang (iaitu kematian).”
SURAH AL-HIJR (15) : 99
Berdasarkan ayat ini, ada sebahagian Kaum Sufi yang menyangka bahawa kita hanya perlu beribadah sehingga kita telah mencapai tahap keyakinan yang tinggi terhadap keesaan Allah dan kewujudannya.
Lalu, setelah mencapai tahap itu, mereka menyangkan yang mereka telah bebas daripada syari’at sehingga tidak perlu lagi melakukan sebarang ibadah seperti solat dan puasa.
Walhal keyakinan yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kematian. Demikianlah yang dijelaskan dalam semua kitab tafsir, termasuklah penjelasan daripada ulama Sufi yang mu’tabar seperti al-Imam al-Ghazali.
Maka, demikianlah juga halnya dengan firman Allah Ta’ala:
ٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَآئِمُونَ
Maksudnya:
“Dan mereka yang sentiasa (menjaga) solat mereka.”
SURAH AL-MA’ARIJ (70) : 23
Ayat ini merujuk kepada orang-orang yang sentiasa menjaga solat fardhu mereka, tetapi sebahagian Kaum Sufi yang sesat menyangka bahawa ia merujuk kepada solat khusus tertentu yang mereka namakan sebagai Solat Daimun.
Lebih aneh lagi, mereka mendakwa yang solat itu boleh ditunaikan tanpa wudhu’ dan tanpa menghadap ke arah qiblat iaitu Ka’bah, walhal ia adalah syarat sah solat.
Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa ia adalah dakwaan batil rekaan sebahagian Kaum Sufi yang sesat.
Wallahu a’lam.