SOALAN: “Nak tahu pasal emas, kena tanya tukang emas; bukan tukang besi,” mohon komen ibarat di atas yang dikaitkan dengan orang yang mengkritik ajaran sufi.
JAWAPAN:
Pertama, kalau perumpamaan ini mempunyai kaitan dengan kritikan saya kepada Kaum Sufi, saya sarankan untuk mereka melihat kepada tulisan saya yang lengkap dengan rujukan daripada kitab-kitab tasawwuf sendiri.
Kemudian, berikanlah maklum balas terhadap dakwaan saya itu, sama ada benar atau tidak, kerana yang dikritik itu adalah pengaruh luar Islam yang masuk merosakkan kemurniaan agama, tanpa menafikan mana-mana ajaran Sufi yang baik.
Ringkasnya, mereka perlu jujur menjawab persoalan, adakah ajaran yang rosak itu ada atau tidak di dalam kitab-kitab tasawwuf?
Kedua, neraca yang menentukan benar atau salah sesuatu perkara adalah fahaman yang benar terhadap al-Quran dan as-Sunnah, sebagaimana firman-Nya:
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
Maksudnya:
“Maka, jika kalian berselisih terhadap sebarang perkara, hendaklah kalian kembali merujuk kepada Allah dan Rasul.”
SURAH AN-NISA’ (4) : 59
Inilah neracanya. Jika kita tidak mahu menggunakan neraca ini, kayu pengukur apa yang mahu kita gunakan?
Kalau mahu berpada dengan dakwaan Ahli Tasawwuf semata-mata, nescaya binasalah agama kerana hadis maudhu’ (palsu) pun mereka jadikan hujah, atas alasan kononnya ia telah disahihkan oleh Rasulullah s.a.w. secara yaqazah, sebagaimana yang ditulis di dalam kitab-kitab mereka.
Jika inilah neracanya, semakin jauhlah mereka daripada agama yang sebenar.
Wallahu a’lam.