SOALAN: Bilakah masanya kita perlu melihat hadis secara zahir dan bilakah pula masanya kita perlu melihat hadis itu secara maknanya? Saya bertanyakan soalan ini kerana saya mendapati, kebanyakan ulama Arab Saudi menilai hadis secara zahir terlebih dahulu. Hal ini berbeza dengan pegangan ulama Mazhab Hanafi yang lebih suka melihat hadis secara maknanya.
JAWAPAN:
Sebenarnya, ia bergantung kepada cara pengajian yang kita terima. Ertinya, kalau guru yang mengajar kita lebih cenderung untuk memahami hadis secara zahir, maka demikianlah juga halnya dengan kita.
Tetapi, jika guru kita lebih cenderung kepada kajian yang mendalam dan halus pula penilaiannya, maka sudah tentulah lain pula kesannya.
Hanyasanya pemahaman hadis secara zahir ini terbatas dan apabila sampai sesuatu tahap, fahaman tersebut tidak lagi praktikal untuk diamalkan.
Maka, sepatutnya orang Islam perlu bersedia untuk berubah mengikut realiti, kerana jika tidak, akan ada hadis yang jika diamalkan secara hadis, ia tidak mencapai maksud syarak yang diingini daripadanya.
Walau bagaimana pun, ini adalah masalah furu’ yang mana kedua-dua belah pihak perlu saling menghormati cara berinteraksi dengan nas tanpa perlu saling salah dan menyalahkan.
Wallahua’lam.