SOALAN: Kenapa terdapat hadis yang menyebut bahawa Nabi s.a.w. menunaikan Solat Zohor secara jahr (memperdengarkan suara), sedangkan kita mengamalkan yang sebaliknya? Adakah ini bererti yang kita dianjurkan untuk sekali-sekala menunaikan Solat Zohor secara jahr?
JAWAPAN:
Abu Qatadah r.a. pernah bercerita bahawasanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ مِنْ صَلاَةِ الظُّهْرِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَتَيْنِ، يُطَوِّلُ فِي الأُولَى، وَيُقَصِّرُ فِي الثَّانِيَةِ، وَيُسْمِعُ الآيَةَ أَحْيَانًا، وَكَانَ يَقْرَأُ فِي الْعَصْرِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَتَيْنِ، وَكَانَ يُطَوِّلُ فِي الأُولَى، وَكَانَ يُطَوِّلُ فِي الرَّكْعَةِ الأُولَى مِنْ صَلاَةِ الصُّبْحِ، وَيُقَصِّرُ فِي الثَّانِيَةِ.
Maksudnya:
“Biasanya, Nabi s.a.w. membaca Surah al-Fatihah dan surah lain di dalam dua raka’at pertama Solat Zohor yang mana dipanjangkan bacaannya pada raka’at pertama dan dipendekkan sedikit bacaannya pada raka’at kedua, dan kadang-kala turut diperdengarkan bacaan di dalam solat (kepada kami dalam Solat Zohor).
Dan biasanya, baginda juga membaca Surah al-Fatihah dan surah lain di dalam dua raka’at pertama Solat ‘Asar yang mana dipanjangkan bacaannya pada raka’at pertama.
Dan biasanya bacaannya dalam rak’at pertama Solat Subuh akan dipanjangkan, lalu dipendekkan sedikit bacaannya dalam rak’at kedua.”
Meskipun hadis ini secara zahirnya menyebut yang Nabi s.a.w. menunaikan Solat Zohor secara jahr sekali-sekala, tetapi tidaklah bererti yang kita dianjurkan untuk bersolat Zohor secara jahr, kerana para ulama telah bersepakat yang Solat Zohor termasuk dalam solat sirriyyah (yang diperlahankan bacaannya).
Adapun apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. itu, para ulama berpendapat yang baginda melakukannya dalam rangka untuk mengajar para sahabat, supaya mereka tahu yang Nabi s.a.w. turut membaca Surah al-Fatihah dalam surah lain di dalam Solat Zohor.
Wallahua’lam.