SOALAN: Kenapa ramai ulama hadis Mazhab Syafie terutamanya dari generasi khalaf tidak mengikut aqidah Imam Syafie?
JAWAPAN:
Pada zaman awal Islam, persoalan tentang sanad ‘aqidah kurang diberikan perhatian kerana seluruh umat Islam mengikut satu aliran ‘aqidah yang sama, sehingga ia boleh dianggap sebagai mutawatir seperti al-Quran.
Tetapi, segalanya berubah apabila buku-buku falsafah dari Yunani mula diterjemahkan ke dalam Bahasa ‘Arab pada Zaman ‘Abbasiyyah. Lalu, setelah timbulnya kemusykilan dan persoalan-persoalan asing dalam kalangan masyarakat awam disebabkan oleh perbahasan ilmu falsafah, barulah muncul tokoh-tokoh seperti al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan al-Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Walaupun tokoh-tokoh ini diangkat sebagai rujukan untuk menjawab syubhat tersebut, ‘aqidah Salaf kekal menjadi pegangan masyarakat awam. Hanyasanya, pengasas aliran Asya’irah dan Maturidiah ini menjadi popluar kerana mereka menggunakan senjata-senjata yang sama oleh musuh (iaitu ilmu kalam) untuk menentang musuh tersebut, sehingga ramai ulama hadis yang menerima cara penghujahan mereka yang menggabungkan al-Quran dan as-Sunnah dengan ilmu falsafah yang dirasakan lebih mapan untuk menghadapi cabaran umat pada zaman tersebut.
Meskipun demikian, para ulama hadis, termasuklah al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari itu sendiri kekal mengikut ‘aqidah Salaf, sebagaimana yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya sendiri seperti Maqalat al-Islamiyyin, al-Ibanah dan Risalah Ila Ahl ats-Tsaghr. Dengan kata lain, beliau juga layak digelar sebagai Ahlul Hadis atau pengikut ‘aqidah Salaf.
Maka, penisbahan mana-mana ulama hadis terhadap aliran Asya’irah dan Maturidiah tidak menafikan bahawa mereka semua kekal dengan ‘aqidah Salaf. Adapun perbezaan sedikit sebanyak yang berlaku antara Hanabilah, Asya’irah dan Maturidiah hanyalah dalam masalah furu’ ‘aqidah yang sudah pun berlaku sejak dari zaman sahabat lagi.
Wallahua’lam.