SOALAN: Kenapa ulama hadis mempunyai guru yang sangatramai sehingga ada yang mencecah ribuan orang guru?
JAWAPAN:
Dalam ilmu hadis, seseorang itu telah pun dianggap sebagai gurunya walaupun jika dia menerima sebuah sahaja hadis daripada gurunya itu.
Ertinya, untuk diiktiraf sebagai guru, tidaklah disyaratkan seseorang ulama hadis itu perlu menerima berpuluh-puluh atau beratus-ratus buah hadis daripada gurunya itu.
Sebab itulah kita dapati yang para ulama hadis mempunyai ramai guru, kerana bukanlah semua guru itu mereka lazimi dalam tempoh masa yang lama.
Misalnya, guru al-Imam at-Tirmizi yang paling utama hanyalah al-Imam al-Bukhari. Adapun kebanyakan yang disebut sebagai gurunya yang lain hanyalah para perawi yang beliau ambil hadis daripada mereka secara langsung.
Jadi, untuk mengetahui berapakah bilangan hadis yang diambil oleh seseorang ulama daripada gurunya, kita boleh merujuk di dalam kitab yang disebut sebagai mu’jam seperti Mu’jam at-Thabarani (as-Saghir, al-Awsath atau al-Kabir).
Di dalam kitab mu’jam, akan disenaraikan nama-nama guru bagi setiap ulama hadis mengikut susunan huruf dan bilangan hadis yang diambilnya.
Apabila kita membaca kitab tersebut, kita akan dapati yang kadang-kala, seseorang ulama hadis hanya mengambil satu sahaja hadis daripada seorang perawi, lalu perawi itu pun dikira sebagai gurunya.
Wallahu a’lam.