SOALAN: Apakah bacaan sujud sahwi yang warid dari Nabi s.a.w.?
JAWAPAN:
Sebenarnya, tiada sebarang bacaan khas yang warid (sabit) daripada Nabi s.a.w. melalui mana-mana hadis sahih bagi Sujud Sahwi.
Walau bagaimanapun, pandangan para ulama terhadap masalah ini terbahagi kepada beberapa pilihan:
Lafaz Masyhur Dalam Kitab Fiqh
سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.”
Meskipun lafaz ini ijtihad ulama sahaja dan bukannya hadis, tetapi maksudnya sangat sesuai dengan hikmah Sujud Sahwi. Barangkali kerana itulah lafaz ini yang sering dibaca dan diajar di sekolah.
Diqiyaskan dengan Tasbih Sujud Biasa
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى
Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi.”
Sebahagian ulama menganggap lafaz ini lebih afdhal kerana lafaz ini sememangnya sabit dan sahih dibaca oleh Nabi s.a.w. di dalam sujud solat yang biasa.
Tidak Membaca Apa-Apa
Alasannya adalah kerana Nabi s.a.w. hanya memerintahkan supaya bersujud tanpa mengajar sebarang bacaan khusus.
KESIMPULAN
Oleh kerana tiada bacaan khusus yang ditetapkan, jika sekadar bersujud tanpa membaca apa-apa pun, Sujud Sahwi tersebut tetap sah.
Wallahu a’lam.