SOALAN: Apakah kedudukan hadis-hadis yang terkandung di dalam buku Wasiat-Wasiat Nabi Kepada Saidina ‘Ali?
JAWAPAN:
Secara umumnya, buku ini termasuk dalam buku yang dipenuhi dengan hadis-hadis palsu keseluruhannya, melainkan sebuah hadis sahaja yang sahih iaitu sabda Nabi s.a.w. kepada ‘Ali bin Abu Tholib r.a.:
أَنْتَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى إِلاَّ أَنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي
Maksudnya: “Engkau bagi diriku adalah seperti kedudukan Harun bagi Musa, melainkan tidak ada nabi lagi selepasku.”
Selain daripada hadis ini, semuanya bukan sahaja palsu, malah merendahkan kedudukan Nabi s.a.w., seolah-olah baginda mengajar hal-hal yang tidak berfaedah kepada umatnya, seperti petua supaya membawa bawang besar ketika mahu berjalan jauh, memakan secubit garam sebelum menjamah hidangan dan lain-lain lagi.
Malangnya, kitab ini bukan sahaja terus diajar di masjid-masjid, malah petua-petua karutnya pula tersebar luas seolah-olah ia benar-benar datang daripada Nabi s.a.w.
Wallahu a‘lam.