SOALAN: Benarkah Anas bin Malik telah diserahkan oleh ibunya untuk menjadi khadam NabI s.a.w. sejak dia berusia 10 tahun?
JAWAPAN:
Terdapat sebuah hadis riwayat Anas bin Malik r.a. sendiri yang mana beliau sendiri berkata:
قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ وَأَنَا ابْنُ عَشْرٍ وَمَاتَ وَأَنَا ابْنُ عِشْرِينَ وَكُنَّ أُمَّهَاتِي يَحْثُثْنَنِي عَلَى خِدْمَتِهِ
Maksudnya:
“Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah ketika aku berusia sepuluh tahun, dan baginda wafat ketika aku berusia dua puluh tahun. Ibuku selalu mendorongku untuk berkhidmat kepadanya.”
Tetapi, Anas bin Malik menyertai peperangan Badar dan Uhud yang berlaku pada tahun kedua dan ketiga Hijriyyah.
Maka, jika beliau mula berkhidmat kepada Nabi s.a.w. seawal usia 10 tahun, ertinya beliau menyertai Perang Badar ketika berumur 11 tahun dan Perang Uhud ketika berumur 12 tahun.
Hal ini mustahil, kerana had usia minimum tentera Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. ialah 15 tahun sebagaimana yang telah diceritakan oleh Ibn ‘Umar r.a.huma. Katanya:
عَرَضَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ أُحُدٍ فِي الْقِتَالِ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً فَلَمْ يُجِزْنِي وَعَرَضَنِي يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً فَأَجَازَنِي
Maksudnya:
“Aku telah dihadapkan (oleh ayahku) kepada Rasulullah s.a.w. pada hari Uhud untuk ikut berperang ketika aku berusia 14 tahun, tetapi baginda tidak membenarkan aku. Kemudian aku dihadapkan lagi pada hari Khandaq ketika aku berusia 15 tahun, lalu baginda membenarkan aku.”
Jadi, adalah lebih munasabah jika Anas mula berkhidmat kepada Nabi s.a.w. sekurang-kurangnya ketika berusia 14 tahun.
Tambahan pula, usia 10 tahun terlalu kecil dan pasti tidak banyak yang dapat dilakukan oleh seorang kanak-kanak pada usia itu.
Tetapi, bagaimana pula dengan masalah aurat para isteri dan anak-anak dara Nabi s.a.w.?
Jawapannya, ayat hijab diturunkan kemudian, sehingga tidak ada keperluan untuk mereka sentiasa berkerudung di hadapan Anas.
Wallahu a’lam.