SOALAN: Jika beriltizam dengan sesuatu mazhab itu wajib, apakah mazhab yang diikuti oleh al-Imam asy-Syafi’i?
JAWAPAN:
Al-Imam asy-Syfi’i tidak mengikut sebarang mazhab melainkan mazhabnya sendiri kerana beliau adalah seorang mujtahid yang mampu untuk mengeluarkan hukum secara langsung daripada nas al-Quran dan as-Sunnah.
Meskipun demikian, beliau tetap belajar dan mengambil manfaat daripada ramai tokoh ulama yang datang sebelumnya.
Kerana itulah ada juga ulama yang berpendapat bahawa taqlid syakhsi iaitu bertaqlid kepada seseorang tokoh tertentu sahaja adalah bid’ah yang tidak pernah dilakukan oleh Salafu Soleh.
Misalnya, tidak ada dalam kalangan sahabat atau tabi’in yang beriltizam untuk mengikut pendapat Abu Bakr r.a. sahaja dalam semua masalah. Sebaliknya, setiap daripada mereka menuntut ilmu daripada ilmuwan yang pelbagai.
Demikianlah juga dengan al-Imam asy-Syafi’i yang tidak beriltizam dengan seseorang ulama sahaja.
Maka, di sini dapatlah disimpulkan bahawa hujah golongan yang tidak beriltizam dengan mazhab tertentu sebenarnya kuat juga, sehingga tidak seharusnya pandangan yang menjadi pegangan Salafu Soleh ini diperlekehkan.
Wallahu a’lam.