SOALAN: Antara tanda-tanda akhir zaman adalah apabila Ka’bah akan diruntuhkan dan pelakunya ialah seorang lelaki berketurunan Habsyah yang dilantik menjadi pemerintah Roman; adakah hadis ini sahih?
JAWAPAN:
Yang sahihnya, Ka’bah memang akan diruntuhkan pada akhir zaman oleh seorang lelaki yang berasal dari Habsyah, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
يُخَرِّبُ الكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الحَبَشَةِ
Maksudnya:
“Ka’bah akan dimusnahkan oleh seseorang lelaki yang mempunyai dua betis yang kecil dari Habsyah.”
Di dalam riwayat lain, baginda bersabda:
كَأَنِّي بِهِ أَسْوَدَ أَفْحَجَ يَقْلَعُهَا حَجَرًا حَجَرًا
Maksudnya:
“Seakan-akan aku melihat seseorang yang berkulit hitam dan jauh jarak di antara dua kakinya menanggalkan satu per satu batu daripada Ka’bah.”
Meskipun kejadian ini belum terjadi, tetapi ia bukanlah sesuatu yang terlalu asing kerana dalam sejarah Islam sendiri, Ka’bah pernah mengalami kemusnahan teruk tatkala tentera Bani Umayyah di bawah pimpinan al-Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi cuba menewaskan ‘Abdullah bin Zubair r.a. di Kota Makkah.
Hanyasanya apa yang disebutkan di dalam hadis ini, ia berkaitan tentang peristiwa pada akhir zaman di mana orang yang merobohkan Ka’bah itu adalah seorang kafir, kerana mustahil ada mana-mana Muslim yang mahu memusnahkan Ka’bah, melainkan jika ia berlaku secara tidak sengaja.
Wallahu a’lam.