SOALAN: Orang macam manakah yang kita tak boleh ambil hadis daripadanya?
JAWAPAN:
Al-Imam Malik bin Anas r.h.m. pernah memberikan nasihat perihal empat jenis manusia yang kita tidak boleh ambil hadis daripadanya, yang mana beliau berkata:
لَا يُؤْخَذُ الْعِلْمُ عَنْ أَرْبَعَةَ سَفِيهٍ مُعْلِنِ السَّفَهِ وَصَاحِبِ هَوًى يَدْعُو النَّاسَ إِلَيْهِ وَرَجُلٍ مَعْرُوفٍ بِالْكَذِبِ فِي أَحَادِيثِ النَّاسِ وَإِنْ كَانَ لَا يَكْذِبُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلٍ لَهُ فَضْلٌ وَصَلَاحٌ لَا يَعْرِفُ مَا يُحَدِّثُ بِهِ
Maksudnya:
"Ilmu (iaitu hadis) tidak boleh diambil daripada empat jenis manusia iaitu orang bodoh yang terang-terangan menunjukkan kebodohannya, pengikut hawa nafsu (ahlul bid’ah) yang mengajak orang lain kepada bid’ahnya, orang yang terkenal sebagai pendusta dalam percakapan hariannya walaupun dia tidak berdusta atas nama Rasulullah ﷺ dan dan orang yang mempunyaikelebihan (dari sudut agama) lagi soleh (akhlaqnya), tetapi tidak mengetahui (kedudukan) hadis yang disampaikannya."
Maka, inilah empat jenis manusia yang tidak boleh diambil hadis daripadanya iaitu:
- Orang bodoh yang menzahirkan kebodohannya, kerana hadis hanya boleh diambil daripada orang yang cerdik supaya yang sampai kepada kita bukan sahaja riwayat yang sahih, tetapi sanad dan matan hadis itu juga terpelihara;
- Ahlul bid’ah yang menyeru manusia kepada bid’ahnya, kerana orang seperti ini menjadikan hadis sebagai tunggangan untuk mempengaruhi manusia supaya mengikutnya dan dia juga berpotensi untuk mencipta hadis palsu demi mencapai tujuannya;
- Orang yang dikenali ramai dengan tabiat suka berdusta meskipun dia belum pernah berdusta atas nama Rasulullah ﷺ kerana boleh jadi dia akan berdusta atas nama baginda; dan
- Orang yang berpenampilan agama dan berperwatakan zuhud seperti golongan tareqat tetapi tidak tahu status hadis yang disampaikannya sehingga penyampaiannya bercampur baur antara yang sahih dengan yang dha’if dan palsu.
Wallahu a’lam.