SOALAN: Adakah menjadi sunnah menyapu tengkuk atau leher ketika berwudhu’?
JAWAPAN:
Hal ini termasuk dalam masalah khilafiah. Kebanyakan ulama tidak menerimanya kerana kedha’ifan hadis yang menyebut tentangnya, seperti apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dengan sanadnya:
عَنْ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ، قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَمْسَحُ رَأْسَهُ مَرَّةً وَاحِدَةً حَتَّى بَلَغَ الْقَذَالَ وَهُوَ أَوَّلُ الْقَفَا
Maksudnya:
Daripada Thalhah bin Musarrif, daripada bapanya, daripada datuknya, beliau berkata, “Aku melihat Rasulullah s.a.w. menyapu kepalanya sekali sahaja sehingga sampai ke bahagian qazal iaitu permulaan tengkuk.”
Tetapi hadis ini tidak sahih dan ia dinilai sebagai dha’if oleh al-Imam Abu Daud sendiri.
Meskipun demikian, terdapat satu pendapat dalam Mazhab Syafi’i dan satu pendapat dalam Mazhab Hanafi yang menerimanya sebagai sunnah.
Adapun di sisi jumhur, mereka beranggapan, yang jika diandaikan hadis ini sahih sekalipun, perbuatan Nabi s.a.w. itu lebih kepada bertujuan untuk tabrid iaitu menyejukkan anggota badan.
Maka, menurut mereka, diharuskan untuk menyapu air ke bahagian tengkuk ketika musim panas sahaja, dan pendapat jumhur inilah yang lebih tepat.
Wallahu a’lam.